YAYASAN SULTAN IBRAHIM JOHOR DENGAN KERJASAMA YAYASAN TEMASEK SUMBANG 20 RIBU ANTIGEN RAPID TEST KIT
Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura menyumbangkan 20 ribu Panbio COVID-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-AG) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).
Sumbangan diserahkan Menteri Besar Johor, Dato' Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Kehormat YSIJ dengan diiringi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ, Dato’ Avinderjit Singh kepada Pengarah Kesihatan Johor, Dato' Dr Aman Rabu pada hari ini (11 Jun).
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Fadly Suffian Laili.
Dato’ Hasni berkata, dengan sumbangan ini lebih banyak ujian saringan COVID-19 dilapangan secara bersasar dapat dilakukan sebagai antara langkah berjaga-jaga untuk membendung penularan wabak ini.
“YSIJ dengan kerjasama Yayasan Temasek menyalurkan pelbagai sumbangan semenjak COVID-19 melanda negara, saya berharap hubungan ini dapat diteruskan demi membantu masyarakat memerlukan.” kata Menteri Besar Johor kepada Royal Press Office (RPO).
Sementara itu, Dato’ Dr. Aman Rabu menzahirkan ucapan penghargaan kepada DYMM Sultan Johor di atas kurniaan sumbangan menerusi YSIJ kepada JKNJ.
“Sumbangan yang amat besar kepada kami kerana ia dapat digunakan untuk membuat saringan pengesanan awal kepada komuniti di negeri Johor melalui sasaran supaya wabak ini dapat dikesan dengan pantas sebelum ia merebak” katanya.
Antigen RTK ini dapat mengesan virus COVID-19 dalam masa 15 hingga 20 minit berbanding dengan ujian Polimerase Chain Reaction (PCR) yang memakan masa sehingga 48 hingga 72 jam.
#sultanjohor
#royalpressoffice
#johor